Charlize Theron & Scoot Eastwood Bakal Bintangi Filem Fast & Furious 8

Pelakon Hollywood, Scott Eastwood secara rasmi mengesahkan bahawa beliau akan menyertai pasukan filem Fast And Furious 8.

Menerusi satu kenyataan Instagram, Eastwood berkongsi berita menarik ini sambil memberi penghormatan emosi kepada rakan beliau serta bintang Fast and Furious, mendiang Paul Walker.

“Ia agak sukar untuk mengatakan betapa terujanya saya untuk menyertai filem Fast and Furious yang seterusnya.

“Bagi saya, siri ini lebih dari sekadar filem francais. Ia adalah warisan. Para pelakon filem itu menjalinkan persahabatan bagaikan keluarga. Saya tidak sabar untuk menyertai mereka,” tulis Eastwood.

Walaupun beliau tidak dapat mendedahkan wataknya secara terperinci, Eastwood berkata beliau akan memainkan watak yang akan berperanan di bawah pelakon, Kurt Russell.

Eastwood mengakhiri kenyataan itu dengan mengenang rakannya, mendiang Paul Walker yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya pada tahun 2013.

“Paul adalah seorang kawan rapat saya. Kami belayar bersama-sama, mengembara bersama-sama, dan dia adalah idola saya sejak kecil lagi. Dia adalah seorang abang kepada saya.

“Peluang untuk menyertai cerita Fast&Furious, cerita Paul dan keluarga FAST adalah seperti mimpi yang menjadi kenyataan bagi saya,” kata Eastwood.

Selain Scott Eastwood, pelakon Charlize Theron turut mengumumkan bahawa dia akan turut menyertai filem Fast 8.

Sumber Astro Awani

Leave a comment