FFM28 pisahkan kategori Filem Terbaik

Filem Polis Evo, Munafik, Mat Moto, Ola Bola dan Jagat menguasai nominasi kategori-kategori utama Festival Filem Malaysia ke-28. Namun, mereka tidak akan bersaing sesama sendiri dalam dua kategori utama.

Ini apabila penganjuran kali ini memperlihatkan beberapa perubahan signifikan dalam pengkategorian.

Kategori Filem Terbaik dipisahkan kepada dua iaitu Filem Terbaik dan Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia.

Pembahagian sama turut dilakukan bagi kategori Pengarahan.

Calon-calon bagi Filem Terbaik adalah Mat Moto – Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit, Jejak Warriors, Munafik, Nota dan Polis Evo.


Manakala calon-calon bagi Filem Terbaik Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia ialah Maravan, Huat The Fish, The Kid From The Big Apple, Jagat dan Ola Bola.

Anak Yusof Haslam, Syamsul Yusof dan anak Othman Hafsham, Syamyl Othman bersaing dalam kategori Pengarah Terbaik, masing-masing menerusi filem Munafik dan Rembat. Syamsul pernah dinobat Pengarah Terbaik pada FFM23 dan FFM24.

Turut tercalon, Pengarah Terbaik FFM18, Saw Teong Hin (Jejak Warriors), Ghaz Abu Bakar (Polis Evo) dan Wan Hasliza Wan Zainuddin (Love Supermoon).

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik memperlihatkan persaingan dua pelakon utama Polis Evo, Shahiezy Sam dan Zizan Razak. Shahiezy pernah mengungguli kategori ini pada FFM24 menerusi filem Kongsi.

Saingan mereka bagi edisi kali ini adalah Aniu (Rembat), Pekin Ibrahim (Mat Moto) dan Aaron Aziz (Suamiku Encik Perfect 10).

Pelakon Wanita Terbaik FFM21 dan FFM25, Maya Karin mengungguli pencalonan kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi dua filem iaitu Jwanita dan Nota.

Maya akan berdepan saingan daripada Pelakon Pembantu Wanita Terbaik tahun lalu, Nadiya Nisaa untuk filem Love Supermoon, Pelakon Wanita Terbaik FFM26, Lisa Surihani (Suamiku Encik Perfect 10) dan Nabila Huda (Munafik).

FFM28 bakal berlangsung pada 3 September 2016.

Untuk mengetahui pencalonan bagi lain-lain kategori, anda boleh ke akaun Instagram rasmi FFM28 di @ffm28official

 

 

 

Leave a comment